Rezeki anak dapat cium mak kali terakhir dari atas stretcher, saat akhir ada pihak sanggup usung sampai kubur

LULUH hati seorang anak selepas mendapat perkhabaran duka mengenai ibu tercinta dijemput Ilahi.

Namun apakan daya, empunya diri tidak dapat bergegas sendiri untuk melihat jenazah kerana tidak boleh berjalan akibat kemalangan jalan raya.

Sayu saat melihat si anak yang dibawa menggunakan pengusung (stretcher) dan akhirnya sempat bertemu dengan arwah ibunya sebelum dikebumikan.

jenazah ibu 4

Herman diusung dari rumah flatnya. foto FB SPJM

Kesedihan itu dirasai anak arwah iaitu Mohamad Herman Yurnalis yang bercerita mengenai ibunya yang menghidap penyakit ‘tiga serangkai’, meninggal dunia pada usia 70 tahun.

Lelaki berusia 36 tahun itu memberitahu ibunya menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Khamis di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mak meninggal dunia di HKL. Sebenarnya mak dah sembilan hari dimasukkan ke hospital. Tapi saya sedih sebab tak dapat ziarah mak di sana kerana sukar untuk bergerak.

“Dalam keadaan mak yang tak sedar, saya hanya dapat melihatnya menerusi video call yang dibuat oleh adik-beradik yang datang melawat.

“Apabila tahu mak dah ‘tak ada’, saya memang sedih dan hanya fikir untuk melihat mak saya buat kali terakhir,” katanya ketika dihubungi mStar.

jenazah ibu 3

Herman tiba dengan bantuan skuad ambulans SPJM dan orang ramai. foto FB SJPM

Herman berkata, dia terbabit kemalangan pada Mac lalu ketika menunggang motosikal sehingga terbabas melanggar pembahagi jalan, menyebabkan kakinya patah dan perlu dimasukkan besi di bahagian kiri.

Menurutnya, selama ini dia menggunakan khidmat ambulans daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkan pergerakan terutama untuk rawatan di hospital.

“Biasanya kami beritahu awal sebab ada tarikh appointment. Tapi kali ini saat akhir jadi pihak berkenaan tidak dapat menyediakan ambulans dengan segera.

“Jenazah dibawa ke masjid di Pantai Dalam, Kuala Lumpur dekat rumah mak sebelum pengebumian. Saya dan isteri minta keluarga supaya tunggu kami untuk jumpa mak buat kali terakhir,” katanya yang menetap di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

jenazah ibu 7

Skuad ambulans SPJM membawa Herman dan isteri untuk melihat jenazah ibunya. foto FB SPJM.

Herman yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik berkata, hajatnya untuk bertemu dengan jenazah ibunya dimakbulkan selepas isterinya menghubungi skuad ambulans menerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) bagi mendapatkan bantuan.

“Pihak SPJM membantu membawa saya turun dari rumah flat kami menggunakan stretcher untuk ke masjid di Pantai Dalam dengan ambulans, bersama isteri dan tiba pada pukul 11.20 pagi.

“Alhamdulillah, ada rezeki untuk tengok mak buat kali terakhir. Masih baring di atas stretcher, saya diletakkan di sebelah jenazah, dapat peluk cium mak.

“Kami pada mulanya harap cukup dihantar sampai ke masjid sahaja, tapi skuad ambulans SPJM bantu bawa kami sampai ke tanah perkuburan sebelum hantar kami balik ke rumah… syukur Alhamdulillah, urusan saya bertemu dengan mak buat kali terakhir dipermudahkan,” katanya sambil mengucapkan terima kasih dan menghargai kerjasama daripada SPJM.

jenazah ibu 8

Kiri Herman (kanan) dan ibu, manakala kanan Herman (kanan) dan isteri (kiri) bersama ibu (dua, kiri) dan abang.

Jenazah ibu Herman iaitu Allahyarham Norini Mohd Saleh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pantai Dalam (Kawasan C) pada tengah hari Khamis, kira-kira setengah jam selepas ketibaannya dengan ambulans.

Menyifatkan ibunya seorang yang peramah dan disenangi ramai, Herman yang bekerja dalam bidang sekuriti berkata, dia kali terakhir bertemu dengan arwah hampir tiga minggu lalu.

“Masa tu mak datang ke rumah saya, walaupun dah uzur dia tetap nak masakkan makanan untuk kami. Kari ikan tenggiri adalah masakan terakhir daripada mak.

“Mak juga sempat berpesan kalau dia dah tak ada, jangan gaduh-gaduh dengan adik-beradik. Alhamdulillah hubungan kami semua baik. Saya akan ingat pesan mak,” katanya.

Sumber Mstar 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Jangan lupa like di bawah atau follow page kami. Terima Kasih

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply