‘Saya Pergi ke Mana-Mana, Peminat Panggil Saya Kawan Ali Set4n’ – Begini Rupanya Keadaan Terkini Ebby Saiful

” Rasa macam sudah malas hendak berlakon sebenarnya… Lagipun saya sudah tua!”

Itu kata-kata pelakon Ebby Saiful, 59, memberitahu dia kini sudah tidak berminat untuk berlakon kerana merasakan dirinya sudah tua walaupun masih dibanjiri dengan pelbagai tawaran lakonan.

Ebby atau nama sebenarnya Ebby Saifullah Ali sangat sinonim dengan filem Ali Setan.

Beliau memegang watak sebagai Latif sehingga melonjakkan namanya dalam bidang perfileman pada era 1980-an selain naskhah seperti Marah-Marah Sayang, Suara Kekasih, Perempuan dan Sumpahan Mahsuri.

Menurut Ebby, dia lebih selesa berada di belakang tabir sebagai pengarah drama selain menghabiskan masa bersama keluarga apabila mempunyai waktu lapang.

” Alhamdulillah tawaran memang masih ada tapi kebiasaannya saya tolak secara baik dan produksi pun faham sebab saya menolak.

” Sudah hampir 10 tahun sebenarnya saya tidak berlakon kerana lebih menumpukan kepada kerja pengarahan,” katanya kepada mStarOnline.

Mula dikenali selepas berlakon filem Ali Setan

Sebagai siswa sebuah universiti, Latif lakonan Ebby Saiful benar-benar mewarnai filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin dan membuktikan bakat yang dimilikki cucu Minah Yem ini.

Meskipun memulakan ‘kariernya’ sebagai pelakon ketika berusia sembilan tahun dalam filem Asmara Kirana yang diterbitkan pada 1968, namun filem Ali Setan benar-benar melonjakkan namanya sebagai pelakon yang diminati.

” Sebenarnya saya sudah mula berlakon ketika umur tiga tahun sebagai pelakon ekstra kanak-kanak dalam filem Raja Bersiong pada awal 1960an.

” Tetapi pada 1969, melihat sifat saya yang tidak mengenal takut pada orang ketika mengikut arwah nenek atau mak ke lokasi, pengarah Nas Ahnaz menawarkan saya watak Jantan dalam filem Asmara Kirana bersama AllahyarhamEd Osmera,” cerita Ebby Saiful.

Bak kata pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, walaupun Asmara Kirana filem pertama yang memberikannya watak, namun Ebby berjaya menjiwai watak Jantan sebagai anak kepada Allahyarham Ed Osmera.

Anak kepada komposer Ali Ahmad dan aktres Norsiah Yem

Walaupun filem berkenaan dikatakan telah menampilkan bakat anak pemuzik Allahyrham Ali Ahmad, (pencipta lagu Si Dia nyanyian Allahyarham Datin Rafeah Buang) dan Allahyarham seniwati Norsiah Yem, namun Ebby tidak meneruskan kerjaya itu.

” Apabila usia saya 19 tahun bersama rakan-rakan seusia, saya menubuhkan kumpulan The Beez kemudian dikenali New Breed. Kami bermain di Hotel Merlin selama tujuh tahun mulai 1978,” kata Ebby.

” Entah kenapa apabila meningkat dewasa saya tidak meminati bidang lakonan. Sebaliknya minat saya lebih ke bidang muzik.

Bakatnya sebagai pemuzik bukan sahaja menjadi sumber rezeki Ebby, malah ia memberi peluang kepada Ebby menjadi artis rakaman apabila dia muncul dengan dua album dibawah syarikat rakaman SRC iaitu Pahlawan Cangkul (1980) dan Untuk Anita (1983).

Kemudian Ebby muncul dengan album ketiganya Kisah Cinta. Album tersebut yang mengandungi lagu hits Bila Bunga Berguguran diterbitkan dibawah syarikat Polygram pada tahun 1986.

Bagaimanapun kata Ebby, penampilannya dalam drama purba Demang Lebar Daun bersama Idris Hashim telah membuatkannya meninggalkan bidang muzik dan nyanyian.

” Drama purba arahan Hasiah Ariffin untuk RTM benar-benar membuka pintu hati saya untuk berlakon semula, walaupun sebelum ini saya buang jauh-jauh minat dan bakat itu,” kata Ebby.

Bermula daripada drama itulah, Ebby terus ditawarkan berlakon dalam filem Ali Setan (1986) diikuti Marah-Marah Sayang, Balik Kampung, Hantu Siang, Suara Kekasih, Perempuan, Sumpahan Mahsuri, Rentak Desa dan filem terakhirnya Azizah The Legend (1993).

Selain berlakon, Ebby juga berbakat mencipta lagu. Ini terbukti kesemua lagu untuk filem Marah-Marah Sayang dicipta olehnya.

Filem tersebut diterbitkan pada tahun 1986 oleh Feugo Production Sdn. Bhd., dengan menampilkan para pelakon Ebby Saiful, Norlida Ahmad, Shah Reza, Liza Abdullah, Isma Alif dan Suhaina Yahya.

Bukan itu sahaja, malah lagu Bunga-Bunga Berguguran yang pernah mencipta populariti penyanyi Fauziah Ahmad Daud dalam filem Suara Kekasih, adalah ciptaannya.

Selain mencipta lagu untuk filem, Ebby juga turut mencipta lagu untuk penyanyi lain antaranya, Flora Santos dengan lagu Melodi Kasih.

Peminat panggil saya kawan Ali Setan

Menurut Ebby, walaupun lebih daripada 30 filem dilakonkan namun Ali Setan tetap momen indah dalam diari seninya.

Betapa tidak, watak nakal dan gila-gila lakonannya bersama Azmil banyak meninggalkan kesan di hati para peminat filem Melayu.

” Selepas berlakon filem itu, bila saya pergi ke mana-mana, peminat panggil saya kawan Ali Setan,” cerita Ebby. ayah kepada Erin Adrina Salsatila,3, Endra Edrian Saifullah, 1 tahun 10 bulan dan suami kepada, Marini Ahmad,30 tahun.

Dari Kiri: Redzuan Hashim, Khairil Anwar Aman, Nassier Wahab, Halim Sabir, Ebby Saiful Ali, Rosyam Nor, Raja Shah Rezza dan Faizal Hussein

Sementara Sumpahan Mahsuri yang diterbitkan oleh syarikat milik Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1989, menonjolkan sisi Ebby sebagai penolong pengarah.

Filem yang diarahkan oleh Datuk Jamil Sulong, bukan sahaja meletakkan isterinya, Datin Rosnani sebagai penolong pengarah, malah Ebby turut dilantik sebagai penolong pengarah kedua.

” Penggambaran filem itu memakan masa lebih sebulan. Berkampung di Kedah dan Langkawi sepanjang penggambaran memberi banyak pengalaman dan pendekatan kepada saya dalam bidang pengarahan.

” Walaupun saya tidak ada pengalaman sebagai pengarah ketika itu, tetapi kepercayaan Pak Jamil dan Mak Nani memberi keyakinan kepada saya.

” Saya bersyukur sangat-sangat, walaupun pada mulanya saya anggap ia tugas yang berat, namun ia membuka era baru dalam karier seni saya,” cerita Ebby.

Sejak itulah, Ebby Saiful meneruskan kerjayanya sebagai penolong pengarah apabila Anwardi Jamil menawarkannya jawatan itu.

” Sebagai penolong pengarah untuk sebuah filem purba memang belum memberi makna yang total bagi saya. Jika ingin maju dan menyusuri kerjaya yang kekal saya perlu mengarah pelbagai genre filem atau drama.

” Menyedari itulah saya mengambil peluang pada tahun 1990 apabila Anwardi mengarah drama komedi Gado-Gado dan melantik saya sebagai penolong pengarah.

” Bermula dengan Gado-Gado terbitan Double Vision, kemudian Anwardi memberi saya peluang mengarah drama bersiri Melaka sebanyak 13 episod dan 13 episod lagi diarahkan oleh Pak Jamil,” kata Ebby Saiful.

Sumber Muzik Jalanan

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Jangan lupa like di bawah atau follow page kami. Terima Kasih

Leave a Reply