Dulu Popular Dengan “Lagu Kau Yang Bernama Seri”. Rupanya Begini Keadaa Penyanyi Zul Handy Black Sekarang
Pasti ramai peminat ‘rock kapak’ mengenali figura ini yang sudah angkat kaki meninggalkan dunia glamor ketika di puncak populariti.
Pemilik nama sebenar, Nurzul Suphia’an Sa’ban, 45, atau lebih dikenali sebagai Zul Handy Black meluangkan masa bersama Mingguan Malaysia, berkongsi kisah silam serta kehidupan selepas hijrahnya hari ini.
” Pada awal 90-an sebelum bergelar artis, saya bekerja sebagai pelukis di kaki lima kompleks Terminal One di Seremban.
” Selain itu, saya juga aktif bermain muzik sebagai pemain drum untuk kumpulan tentera di sekitar Negeri Sembilan. Waktu itu show kami hanya di rumah orang kahwin.
” Suatu hari seorang rakan daftarkan nama saya dalam pertandingan karaoke di Plaza Ampangan Seremban.
” Saya ingat lagi pertandingan itu berlangsung selama empat minggu, dan saya berjaya mara ke final. Pada mulanya tak sangka juga sebab saya bukannya selalu menyanyi, lagi pun kalau bersama band itu saya lebih selesa bermain drum.
” Lagu ‘Tiada Rahsia Antara Kita’ nyanyian Awie yang saya bawakan ketika pertandingan akhir itu berjaya menobatkan saya sebagai juara.
” Bila dah menang barulah saya tahu, rupa-rupanya pertandingan itu dibawakan oleh syarikat rakaman SRC, dan mereka memang ingin mencari artis rakaman baru,” katanya.
Menurut pelantun lagu Kau Yang Bernama Seri ini, ramai rakannya tidak percaya atas kemenangannya, apatah lagi sebelum itu jarang sekali dia melontarkan suara di khalayak, malah ramai di antara teman rapatnya berasa bangga dan mengucapkan tahniah apabila mengetahui dia akan ke Kuala Lumpur untuk sesi uji bakat yang dijalankan syarikat rakaman SRC.
” Ketika sesi uji bakat berlangsung, saya terkejut apabila dapat tahu yang audition tersebut adalah untuk mencari penyanyi baru bagi kumpulan rock kapak otai, Handy Black. Ini kerana penyanyi asal mereka, Isa telah keluar untuk menumpukan pada perniagaannya.
” Saya juga diberitahu kumpulan ini akan dijenamakan semula dengan konsep baru kerana menurut mereka demand rock kapak ketika itu sudah berkurangan.
” Ketika sesi audition ada tiga penyanyi lain turut serta. Ketika itu saya tidak menaruh sebarang harapan.
” Namun mungkin sudah tertulis itu rezeki saya agaknya apabila pihak A&R yang di ketuai oleh Zul 2 by 2 sebulat suara memilih saya,” ujarnya panjang lebar.
Untuk memberinya lebih serasi dengan anggota Handy Black, dia diminta untuk tinggal bersama pemain gitar utama kumpulan tersebut iaitu Rosli Jantan atau Lee. Menurut Zul ketika itulah dia diajar pelbagai teknik dan konsep yang mereka inginkan.
Tidak menafikan wujudnya stres dan kurang keyakinan, namun apabila memikirkan minat dan percaya itu adalah ‘rezeki baharunya’ dia meneruskan dengan penuh azam dan keyakinan. Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan.
” Ketika itu Lee sarankan kepada saya jika menyanyi lagu rock yang fast dan berat dia nak saya buat suara ‘koyak’.
” Ketika itu dia beri saya dengar lagu-lagu kumpulan barat seperti Sepultura, Kreator dan sebagainya supaya saya dapat belajar dan faham teknik yang dia inginkan.
” Lagu Kau Yang Bernama Seri sebenarnya tiada dalam senarai lagu yang ingin kami rakamkan ketika itu. Lagu itu hadir ketika sedang lepak bersama Zul 2 by 2.
Dia sekadar memetik gitar secara suka-suka, namun kami yang berada di situ perasan lagu tersebut sedap dan ada kelainan, lantas Zul susun semula dan beri pada arwah Loloq untuk dibuat lirik.
” Album Handy Black akhirnya dipasarkan. Lagu Kau Yang Bernama Seri tiba-tiba menjadi hits mengatasi lagu lain dalam album tersebut.
” Kehidupan saya mula berubah sekelip mata. Bila bergelar selebriti semua nikmat dunia yang selama ini saya pandang dengan mata dapat saya kecapi, termasuklah kemahsyuran, kemewahan dan sebagainya,” ujarnya.
Setiap hujung minggu pendapatan boleh cecah hingga RM18,000
Ketika nama di puncak, dia akui terlupa dan alpa dengan tuntutan agama. Nikmat dunia yang dikecapinya ketika itu sedikit sebanyak membuatkan dia hanyut tambahan pula usianya ketika itu baru menginjak awal 20-an.
” Walaupun hidup mewah dan sukses tapi bila balik ke rumah dan duduk seorang diri saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya.
” Adakalanya jiwa terasa kosong, dan seringkali rasa tidak tenteram seolah-olah ada yang kurang dalam hidup ketika itu. Puas saya fikir, namun tak jumpa jawapannya.
” Ikutkan ketika itu saya dah ada rumah besar harga beratus ribu, kereta dua tiga buah, show yang banyak sehinggakan setiap hujung minggu pendapatan saya boleh cecah hingga RM18,000.
” Sehinggalah ayah saya meninggI dnia pada 2015. Bila saya lihat arwah ayah dimasukkan ke Iiang Iahad, ketika itulah hati saya berdetik, akhirnya bila kita kembali ‘kepadanya’ kita langsung tidak bawa apa-apa kecuali tubuh yang dibaluti kain putih dan amalan yang dibuat ketika hayat.
” Perlahan-lahan saya cuba menginsafi diri, mencari bekalan akhirat serta meninggalkan sedikit demi sedikit hal duniawi.
” Alhamdullillah, Allah SWT buka pintu hati saya untuk kembali ke jalannya, walaupun terpaksa meninggalkan segala apa yang saya ada ketika itu,” katanya
Bermula saat itu, dia mula mendekatkan diri dengan agama dan meninggalkan apa yang dilarang.
Pada mulanya ramai rakan terkejut dan tidak kurang juga yang memandang serong dengan hijrahnya, namun berbekalkan kecekalan dan semangat yang ada menjadikan dia terus istiqamah tanpa memperdulikan persepsi negatif yang ada di sekelilingnya.
” Untuk menjadi mahsyur, popular dan dikenali tidak semestinya menjadi artis sahaja.
” Cuba tengok sekarang ini para ulama dan ustaz juga mampu meraih populariti atas kerja-kerja dakwah mereka. Tidak perlu ada kerisauan dalam hijrah. Hijrah bukan bermakna kau tinggalkan hal dunia.
” Memang Allah SWT itu menguji kita, namun percayalah rezeki Allah itu ada di mana-mana. Bak kata guru saya, dakwah itu bukan pekerjaan, tetapi dalam setiap pekerjaan, dakwah tetap kena jalankan,” katanya
Menurutnya, kini dia sering dijemput untuk memberikan ceramah tentang penghijrahannya, namun bagaimanapun jemputan persembahan pentas masih diteruskan dengan syarat ditetapkan, contohnya di majlis tersebut haruslah tiada unsur-unsur mksiat seperti hidangan ar4k dan sebagainya.
” Sekarang ini bila tengok lakonan dulu pun terasa malu. Dalam hati berkata juga, kenapalah aku buat macam ini dulu.
” Sama juga ketika saya menghadiri majlis perkahwinan. Bila ada orang yang menyanyikan lagu karaoke saya, saya akan cakap dengan mereka secara bergurau “Eh, tak payah tengoklah video klip tu…nyanyi dengar muzik sahaja sudahlah. Malu aku tau!..” katanya ketawa sambil mengakhiri perbualan.
Sumber: utusan / printlyrics
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri
Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.