Anak Allahyarham Aman Shah, Afrah Athasha, 24, bersyukur sempat memperkenalkan tunangnya kepada arwah bapanya apabila penyanyi itu hadir pada majlis pertunangannya di Singapura, 3 September lalu.
Afrah berkata, arwah bapanya datang bersama bapa saudaranya, Datuk Naseer Abu Kassim dan sempat meluangkan masa selama tiga hari selepas lama tidak bertemu mereka di Singapura.
“Ayah sempat jumpa tunang saya dan emak. Saya bersyukur, kami dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. Selepas hampir 20 tahun terpisah, syukur kami kembali dapat bersama,” katanya.
Menurut Afrah, keluarganya kembali bersatu sejak dia rapat dengan bapanya pada 2019.
“Selepas C0 vid-19 menular, kami tidak dapat berjumpa. Selalunya, kami hanya berbual menerusi panggilan video, tetapi tidak puaslah. Dari segi hubungan dengan adik-beradik lain, kami semua sangat baik,” katanya.
Berkongsi lanjut, Afrah berkata, dia berada di Kuala Lumpur sejak semalam kerana terbabit dengan persembahan dan rakaman lagu.
Bagaimanapun, katanya, perancangan itu terpaksa ditukar apabila dia dimaklumkan bapanya kritikal sebelum menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), petang semalam.
“Berita itu amat mengejutkan kerana ayah sebelum itu dalam keadaan baik. Arwah masih boleh bergurau dan menghubungi saya mahu balik kerana makanan tidak sedap. Semuanya seperti biasa.
“Tiba-tiba, saya dapat panggilan meminta supaya semua datang ke Kuala Lumpur. Namun, ayah meninggal dunia ketika saya dalam penerbangan dari Singapura. Apabila tiba di Kuala Lumpur, telefon saya berdering tidak henti-henti,” katanya.
Afrah yang juga penyanyi dan komposer di Singapura dikenali dengan nama Zalelo adalah anak ketiga Aman menerusi perkahwinan keduanya dengan Farah Diba Abdul Aziz, penyanyi kumpulan duo, The Queens dari Singapura.
Afrah bersama ibunya yang juga bekas vokalis The Queens dari Singapura, Farah Diba ketika majlis pertunangannya pada 3 September lalu. – Foto Ihsan Berita Harian Singapura
Aman Shah bermula di bawah khemah kenduri kahwin
Menyingkap permulaan pembabitan dalam arus hiburan tanah air, penyanyi yang digilai ramai era 1980-an itu asalnya bermain band di majlis kenduri kahwin pada usia awal belasan tahun.
Biarpun tidak pernah mendapatkan pendidikan formal dan hanya belajar daripada buku muzik, minat mendalam mendorong anak jati Johor Bahru itu menubuhkan sebuah kugiran.
Kumpulan dinamakan The Rembles yang direalisasikan ketika beliau berada di Tingkatan Lima itu menyaksikan Aman sebagai vokalis dan pemain gitar utama.
Digeruni pesaing, band tersebut pernah dinobatkan sebagai Juara Kugiran Pesta Negeri Sembilan 1971 selain kerap membawa pulang trofi kejuaraan dalam setiap pertandingan kugiran atau nyanyian sekitar Johor dan Negeri Sembilan.
Dua tahun kemudian anak muda bersemangat kental itu berhijrah ke Kuala Lumpur sebelum menyertai kumpulan Booty’s Boys mengadakan persembahan di sebuah dengan gaji bulanan sebanyak RM2,000, satu jumlah besar ketika itu.
Dari situ Aman Shah mengenali mendiang Mike Bernie yang menawarkannya menjadi artis syarikat rakaman EMI Music Malaysia pada 1979 hingga 1987.
Sepanjang kerjaya nyanyian Allahyarham menghasilkan lapan album studio serta sebuah album kompilasi.
Antara dendangan yang paling diingati ramai adalah Adikku Pandai Menari yang dirakam pada 1983, selain lagu raya malar segar, Kepulangan Yang Dinanti.
Bakat Aman Shah bukan sekadar sebagai penyanyi, kebolehan penciptaan lagu turut terserlah menerusi Perjalanan Sepi dendangan Shara Eqnor dalam pertandingan First Asian Song Festival di Nagoya, Jepun pada 1989.
Lagu Mata dendangan Noor Kumalasari antara gubahan yang menjadi siulan ramai malah Aman Shah turut dianugerahkan kembar tiga platinum atas penjualan album kumpulan Ekamatra yang turut memuatkan lagu popular ciptaannya, Pusara Di Lebuh Raya.
Bakatnya sebagai pelakon juga terserlah menerusi filem Darah Satria, Azura, Aku Bukan Gila, Sayang Ibu dan Bas Konduktor selain naskhah televisyen seperti Selembut Sutra serta Ke Puncak Jaya.
Tidak sekadar menunggu tawaran, Aman Shah turut bergelar produser dengan menerbitkan drama bangsawan untuk TV3 berjudul Mawas sempena ulang tahun kedua stesen televisyen tersebut.
Sementara itu, difahamkan Allahyarham menyimpan hasrat untuk menjayakan pembikinan sebuah konsert online trash-metal bersama band baharunya, Deathism yang terdiri daripada Ritz sebagai gitaris dan Lee Space (pemain dram).
Namun hasratnya mahu kembali memeriahkan arena muzik ketidak dapat direalisasikan berikutan kondisi kesihatannya.
Terdahulu, jenazah pelakon filem Darah Satria itu dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, jam 10 malam tadi.
Allahyarham yang berusia 68 tahun, menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung di Unit Rawatan Koronari (CCU), IJN, jam 2.20 petang, semalam.
Dilahirkan di Johor Bahru, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Adikku Pandai Menari itu meninggalkan enam cahaya mata menerusi tiga perkahwinannya.
kredit: utusan
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri
Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:
Jangan lupa like di bawah atau follow page kami. Terima Kasih
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.